assalammualaikum kpd sume yg t'bace,yg m'bce,yg trse nk bce & sewaktu dgnnye..welcOme tO my blOg..sOri ye blOg xcntEk,simple sgtttt..sO aplgi,jOm jdi fOllOwers sy..;P Leelou Blogs

Tuesday

Pusaka atau Neraka !


"Mak, kenapa tak sama banyak je mak? Kenapa Ila lebih, saya dapat sikit? Lebihnya bukan sikit-sikit.  Kalau setakat setengah ekar ke satu ekar ke boleh juga saya terima.  Ini lebih dari separuh.  Dahlah macam tu, duit pun dia lebih juga."  Tijah membantah.
"Alah... Jah, adik kau tu kan nak berniaga. Dia ada masalah sikit dengan perniagaannya. Jadi boleh juga dia cagarkan tanah peninggalan ayah tu untuk perniagaannya. Anaknya pulak ramai yang masih bersekolah, yang belajar lagi. Dia perlukan banyak duit untuk perbelanjaan sekolah anak-anaknya."
"Anak-anak Jahkan semuanya dah lepas. Dah tak ada tanggungan lagi. Dah tak pening kepala nak cari duit untuk perbelanjaan anak-anak. Cuma untuk belanja diri sendiri je." Maknya menyanggah.
Salim anak yang tua pula meluah, "Mak... patutnya anak lelaki yang lebih, kalau ikutkan Islam pun kata macam tu. Cuba mak tanya Ustaz Shofi, macammana cara yang baik dan betul untuk bahagi-bahagikan harta-harta ni."
Maknya terus membantah, "Ikut ajelah apa yang mak kata. Engkau orang apa tau. Duduk dahlah jauh-jauh belaka. Adik kau je yang dekat dengan kampung ni. Dia yang selalu menjenguk dan menguruskan tanah-tanah peninggalan ayah kau tu. Dia juga yang selalu datang dan ziarah mak, sediakan makan minum mak.."
Adik mereka yang kecil mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju. Terus tersenyum-senyum malu, "Yelah abang, akak. Betul kata mak tu. Selama ni saya yang cari orang tolong bersihkan kebun tu, racunkan rumput, tebang pokok-pokok yang menyemakkan kebun tu. Cari orang yang ingin torehkan getah tetapi duitnya kita bagi sama banyak. Sakit pening masa arwah ayah tu dulu saya yang uruskan, nak harapkan abang dan kakak jauh-jauh belaka. Dah tu balik sekali-sekala aje."
"Ah...! Kau memang macam tu,  membodek emak nombor satu.  Semuanya kau nak sapu."  Kata kakaknya, Tijah.
Setelah puas bertegang urat. Namun tiada muafakat. Walaupun telah diberi taklimat, keputusan ibunya tetap muktamad.
"Takpelah mak. Kami pun tak tau nak cakap apa lagi. Uruskanlah semuanya sendiri atau suruh anak menantu yang mak sayangi. Kami ni tak reti. Kita lihatlah apa yang jadi nanti." Kata Zul, abang keduanya mengalah.
Entah berapa kali mereka berbincang dan mengata dari belakang.  Itulah keputusannya, itulah juga kata-kata maknya. Sudah tidak boleh diubah-ubah lagi. Terlalu susah untuk menyedarkan dan mengingatkan emaknya. Entah apa ubat, entah apa ayat yang diberikan oleh Ila membuatkan emak mereka terikat dengan katanya yang bulat. Keputusannya sudah muktamad.
Akhirnya mereka bersepakat, terus tanamkan tekad untuk tidak mahu ambil tahu apa yang berlaku walaupun masa telah lama berlalu dan mereka tetap seperti itu.
.........................................................................
Di tepi jendela
Nenek tua itu duduk di tepi jendela.  Menyelek-nyelak tabir usang yang tidak berganti malah tidak dibasuh entah berapa tahun lamanya.
Tabir itu sepatutnya menyerikan suasana di rumahnya tetapi telah menyemakkan mata yang memandangnya serta memburukkan lagi suasana di dalamnya. Mana tidaknya, rupanya yang kusam, lebam, balam, menambahkan serta memburukkan lagi suasana suram, muram dan guram.  
Berhabuk, berbintik-bintik hitam, bertahi lalat malah telah tercarik bagaikan di cakar sang kucing liar.
Sebenarnya bukan kucing yang mencakar, bukan jari-jemari nenek tua itu yang mencakar-cakar tabir itu, tetapi cakaran waktu, cakaran masa dan cakaran hari-hari yang telah bersilih ganti datang dan pergi. Cakaran-cakaran serta carikan-carikan yang membuktikan telah bertahun ia setia di sisi jendela itu. Seusia cakaran dan carikan yang ada di hati nenek tua itu.
Hujan panas, siang malam malah ribut taufan yang silih berganti akan terus mengoyakkan tabir itu, akan berterbanganlah carikan tabir lalu jatuh ke lantai serta mereputlah di situ, tiada siapa yang mahu tahu.
Tiada siapa yang ambil tahu, tiada siapa yang ingin membantu. Namun nenek itu terus menunggu.
Tabir itu sepatutnya boleh melindungi cahaya yang panas terik, telah boleh menerobos ke dalam rumah. Tabir itu boleh menapis serta menghalang habuk dan debu-debu kotor dari memasuki rumah itu tetapi sekarang debu-debu boleh menyusup masuk di celah-celah belahan carikan-carikannya. Hujan panas yang kebiasaannya tidak lebat tetapi memudaratkan itu juga mampu masuk ke dalam rumah itu.  Apatah lagi hujan lebat, hujan batu juga ribut taufan sudah pastilah meluru masuk ke rumah usang itu.
Usang.
Usang, seusang penghuninya. Senada sahaja apa yang ada di dalam.
Nenek tua itu masih di situ, masih lagi menyelak-nyelak tabir usang itu, mengintai-intai di luar jendela itu. Mengharapkan sapaan salam dari tetamu. Namun tiada siapa yang datang menyapa. Yang kedengaran hanyalah sapaan ayam itik di lamannya, serta kucing yang menjadi teman lamanya.
Nenek tua itu masih di situ, di jendela itu. Mengharapkan sapaan dari anak menantu serta cucu yang dirindu. Padahal suatu ketika dulu, rumah ini sentiasa ceria, sentiasa bercahaya dengan gelak tawa, dengan gurau senda ahli keluarganya. Tetapi sayang semuanya telah tiada, hanya kenangan yang terus bertakhta di hati nenek tua.
Syawal telah pun berakhir. Tiada siapa yang sudi datang ke rumah usang itu. Tiada Mercedess bermata bundar yang mau mengegar laman usang itu. Tiada Alphart yang mau merapat ke laman usang itu. Tiada kereta lama yang terbatuk-batuk enjinnya menjenguk ke laman usang itu. Malah basikal pun tidak mahu lalu di situ. Tiada siapa yang ingin singgah untuk menjengah nenek tua itu.
Kasihan dia, mengapa begitu jadinya..
Dia masih di situ. Membayangkan kenangan dulu. Bayangan yang masih terbentang di ingatannya, yang masih terang benderang menyuluh hidupnya. Dia rindukan hilai-tawa, jerit-pekik, senda-gurau juga tangis-mengada serta rajuk-hiba cucu-cucunya. Melihat keletah dan telatah cucunya, hatinya menjadi bahagia.  Dia merasakan hidupnya cukup bermakna lagi penuh sempurna ketika itu.
Tetapi sekarang begitu jadinya..
Nenek tua itu masih di situ, masih di jendela itu,  Meniti hari-harinya tuanya yang tidak menentu. Menanti dan terus menanti mengharapkan anak-anaknya kembali. Tetapi apakan daya, Syawal pun sudah meninggalkan kita. Harapan sudah pudar jadinya dan rasa kecewa pula yang bertakhta.
Nenek tua itu masih di situ, menunggu dan terus menunggu, di jendela yang kaku, menanti kehadiran anak menantu serta cucu. Apakah masih ada waktu untuk mereka bertemu, untuk melepaskan rindu, untuk bercerita dan mengadu, untuk berbaik tanpa cemburu, sebelum senja berlalu, sebelum malam membisu, sebelum badan sejuk kaku, hanya Allah sahaja yang tahu.
Apakah hati mereka sudah beku? Tidak adakah rasa sayu? Tidak adakah rasa terharu? Tidak adakah rasa malu? Membiarkan ibunya begitu. Ibunya menangis tersedu-sedu.
Kenangan lalu..
Dia terkenangkan anaknya Kamal. Anak pertamanya yang tinggal di Kuala Perlis. Sudah lama dia tidak balik ke kampung halamannya. Jauh adalah alasan utamanya. Masalah kewangan juga antara puncanya. Walau bagaimanapun setahun sekali akan pulang juga ke kampung Sentosa, kampung halamannya. Tetapi semenjak ibunya membahagikan harta pusaka keadaan sudah berubah. Dia sudah mula memberi pelbagai alasan untuk tidak balik ke kampungnya. Sebenarnya hatinya telah terluka.
Anak keduanya pula, walaupun berada di Kuala Lumpur, masih tidak boleh balik ke kampung, katanya, "Kerjanya tak menentu, waktu cuti pun bertugas juga."  Itulah jawapannya bila sesekali emaknya menelefon.
"Budak-budak ni pun sibuk dengan kelas tambahan dan tuisyen. Hari cuti pun ada kelas, jadi susah sikitlah nak balik ke kampung."  Sambungnya lagi.
Manakala anak ketiganya, Tijah pula sudah berubah, katanya, "Abang Din sibuk sejak kebelakangan ini mak, selalu outstation jadi Tijah ikut ke mana abang pergi." 
Itulah antara jawapan yang biasa diberi apabila emaknya berada di talian talefon. Sebelum ini dia jarang mengikut suaminya. Sejak anaknya besar dia selalu mengikut suaminya. Sebenarnya hatinya tersinggung dengan sikap ibunya yang melebihkan adiknya.
"Ilakan ada, diakan anak kesayangan mak. Diakan dekat dan selalu menjenguk mak.." Terkedu dan terbisu nenek itu mendengar kata-kata yang keluar dari mulut celupar anaknya. Bagaikan 'memulangkan paku buah keras' pada ibunya.
Mereka memberikan pelbagai alasan untuk tidak berjumpa ibunya. Mereka marah pada ibunya. Mereka cemburu dengan adiknya. Mereka sudah lama tidak bertanya khabar tentang adiknya, juga ibunya. Biarlah begitu, mereka tidak mahu bertemu dengan adiknya. Mereka sudah tidak mahu melihat muka adiknya.
Manakala anak kesayangan nenek itu, anaknya yang bongsu yang tinggal di bandar berhampiran kampungnya. Suatu ketika dulu memang selalu menjenguk nenek itu. Makan minumnya sentiasa terjaga. Bajunya sentiasa dibasuh dan dilipatnya. Rumahnya selalu dikemaskan, disapu lantainya, ditukar langsirnya, dipotong rumput halaman rumahnya.
Tetapi... semenjak dia dapat membolot kebanyakan harta pusaka peninggalan ayahnya, dia sudah jarang balik ke kampung, menjenguk ibunya walaupun dekat sahaja.
"Sibuk.."  Perkataan yang selalu keluar dari mulut Ila pada emaknya.   Perniagaannya bertambah maju sekarang ini. Nak ditinggalkan takut pula tak dapat projek atau kontrak. Mana nak cari duit nak bayar rumah bonglo di atas bukit itu. Macamana nak bayar hutang kereta yang lebih sejuta harganya. Belum lagi dikira belanja yang lainnya, makan di hotel berbintang-bintang, melancong ke hujung dunia.
Apabila bercuti, digunakan untuk membawa anaknya ke luar negara. Katanya "Inilah masa untuk bermesra dengan suami dan anak-anaknya." Untuk mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan mereka.
Tidak mengenang budi.
Begitulah lumrahnya manusia. Tidak ingatkah dia akan ibunya yang mengorbankan harta bendanya, pusaka suaminya untuk anak yang disayanginya? Bila dah senang beginikah balasannya? Sanggup membiarkan ibunya merempat di kampung halamannya.
Anak tidak mengenang budi. Duit sudah banyak, tetapi biarkan ibunya sendiri. Sakit peningnya sudah tidak dipeduli. Makan minumnya sendiri. Tidurnya bertemankan mimpi ngeri.
Inikah balasan untuk dirinya. Tidak berlaku adil terhadap anak-anaknya. Tidak berfikir apakah akibatnya. Bertindak sesuka hati tanpa usul periksa. Tidak bertanya pada yang arif tentang pusaka. Sepatutnya terlebih dahulu berdoa pada yang Esa, mohon petunjuk dan hidayah-Nya.  Apakan daya menyesal sudah tidak berguna.
Masih ada masakah untuk bersatu?
Nenek tua itu tidak banyak waktu,
Malaikat Izrail sedang menunggu,
Untuk mencabut nyawa nenek itu,
Menghantarnya ke dunia baru.
Nenek tua itukan ibumu,
Usah dikenang kisah yang lalu,
Yang terluka dan rasa cemburu.
Nenek tua itu tetap ibumu,
Ibumu yang satu,
Walau apa pun yang berlaku,
Walaupun marah, tak setuju,
Janganlah disisihnya begitu.
Nenek tua itu tetap ibumu,
Yang lalu biarlah berlalu,
Binalah hidup baru,
Kerana Allah sentiasa melihatmu,
Mencatat apa yang berlaku,
Syurga atau Neraka adalah tempatmu,
Pilihlah mana yang engkau mahu.
Berbaktilah untuk ibumu,
Demi Syurga yang menunggu.
Tidakkah terbuka hati mereka untuk menghentikan segala sengketa? Tidak terfikirkah mereka tentang dosa dan pahala? Tidak takutkah mereka akan Neraka? Mereka semuanya ada salah dan silapnya di mana-mana. Saling bermaaf-maafan, itulah yang terbaiknya. Atau sanggupkah mereka membawa 'Pusaka ke Neraka'?
Inilah  akibatnya terlalu memikirkan dunia.
Inilah akibatnya terlalu pentingkan harta benda.
Inilah akibatnya terlalu pentingkan diri sahaja.
Sangup tidak bertegur sapa.
Sangup tidak bertanya khabar berita.
**********************************************
Firman Allah Ta'ala bermaksud :
"Berikanlah kepada kaum kerabat hak masing-masing." [al-Isra:  26]
Dan lagi
"Dan Kami perintahkan manusia supaya berbaik-baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya penuh derita dan melahirkannya penuh sengsara, kemudian menyusuinya selama tiga puluh bulan." [al-Ahqaf: 15]
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :
"Orang yang paling banyak taqwanya kepada Allah, paling erat sekali perhubungannya dengan keluarga, paling suka menyuruh berbuat kebajikan dan melarang berbuat kemungkaran."

GADIS MELAYU...


Ke mana pergi maruahmu?
Ke mana pergi kehormatanmu?

Ke mana pergi harga dirimu?
Ke mana pergi agamamu?

Auratmu sewenangnya didedah,
Mata sang teruna ghairah menadah,
Lantas siapa yang harus dipersalah?
Andai habis madu sepah bersepah.

Gadis Melayu..
Kalian begitu mudah dipujuk rayu,
Hanya dengan ungkapan I Love You,
Lantas kalian terkulai layu,
Walau jejaka...